Tips Buat Kek Dari Chef Wan




Menurut Chef Wan, proses membuat kek adalah 'proses tepat' yang bahan-bahannya perlu seimbang antara satu sama lain bagaikan satu rumusan kimia. Malah, memang berlaku proses kimia apabila bahan kek mentah dibakar dan menjadi satu hidangan makanan/manisan yang lazat. 

Tidak dapat digambarkan keistimewaan perkataan 'kek' jikalau dibandingkan proses membuat adunan kek manis yang dibakar, disapu inti di tengahnya dan disalut gula aising, yang direka bentuk dengan mudah di sekeliling kek. Keindahan kek ini dapat memberikan kepuasan. Seni memasak kek ada unsur seni reka yang tersendiri. Kek adalah asas struktur, intinya sebagai lepa dan aisingnya sebagai jubin atau pertukangan papan, menjadikannya satu bentuk yang sempurna.

Untuk membuat kek, bahan-bahan asasnya ialah gula, tepung, telur, lelemak... kepelbagaian boleh dicapai dengan menukar rasa, tekstur, rupa dan bentuknya untuk mendapatkan hasil kek yang baik. Berikut Chef Wan telah menurunkan beberapa petua penting dalam seni menyediakan kek.
  1. Semua bahan hendaklah berada pada suhu bilik melainkan jika resipi itu memerlukan bahan berkenaan sejuk, contohnya mentega. Jika terus digunakan dan peti sejuk, apabila dipukul mentega bersama gula dan telur, ia lambat mengembang apatah lagi menjadi gebu. Apabila dibakar dan dipukul sedang adunan belum cukup kembang, kek itu akan bantat dan tidak lembut. Begitu juga telur. Pukul satu-persatu supaya setiap kali dipukul udara dimasukkan. Ini menggebukan lagi kek itu.
  2. Fahamilah fungsi ketuhar anda sebab setiap ketuhar berfungsi secara berlainan. Bergantung berapa umur ketuhar, sama ada sudah uzur ataupun baru dibeli, waktu memanaskannya juga penting sebelum kek itu dibakar. Pastikan selalu memanaskan ketuhar dahulu. Jangan ketika hendak membakar kek baru hendak dihidupkan ketuhar. Selalunya 15 minit memanaskannya sudah mencukupi.
  3. Apabila membakar kek, letakkan ia di tengah-tengah ketuhar, melainkan resipi menyatakan sebaliknya.
  4. Jangan memukul terlalu lama apabila memasukkan tepung ke dalam adunan mentega, adunkan tepung hingga ia sebati sahaja. Memukul terlalu lama akan menarik struktur gluten pada tepinya dan menyebabkan kek keras.
  5. Untuk mendapatkan kek ringan dan gebu, mentega perlu dipukul sampai berkrim.

Membakar kek suatu kerja mudah tetapi apa akan terjadi pada kek apabila ia dikeluarkan dari ketuhar?


Masalah Yang Sering Dihadapi

Jarang sekali kita dapat menentukan kenapa kek tidak menjadi seperti pada gambar resipi. Perlu ingat, semua bahan hendaklah ditimbang dengan betul dan gunakan penimbang serta camca penyukat dan acuan tin yang ditetapkan dalam resipi. Bukan cawan kopi, cawan teh tetapi cawan sukatan metrik. Dan bukan camca teh, camca makan di rumah... tetapi camca sukatan. Apabila kek sedang dibakar, jangan sekali-kali membuka pintu ketuhar sebelum tiga suku membakar kerana angin yang berlainan hawa akan membuatkan kek mendap di tengahnya. Di bawah disenaraikan masalah lain dan sebabnya.

- Kek Terlalu Lembap dan Leper
  • Terlampau banyak cecair.
  • Bahan penaik tidak mencukupi atau sudah luput tarikh penggunaannya.
  • Lemak dan gula tidak dipukul secukupnya.
  • Adunan mentega berketul-ketul dan tidak halus.
- Kek Merekah di Atas
  • Ketuhan terlampau panas atau acuan kek tidak diletakkan di tengah tengah ketuhar.
  • Kekurangan cecair.
  • Acuan tin terlalu kecil.
- Kek yang Mendap di Tengahnya
  • Ukuran acuan tin tidak betul.
  • Sukatan bahan tidak tepat.
  • Ketuhar terlalu panas, terlalu sejuk atau dibakar dalam jangka masa singkat.
  • Pintu ketuhar dibuka terlalu awal.
Semoga kek anda menjadi.. :)

Tips agar kek anda cantik dan gebu

Tips agar kek anda cantik dan gebu.


MUSIM membuat kek dan biskut . Tentu inilah masanya untuk anda, selain mencari resipi-resipi kek dan biskut terbaru, turut berasa 'seram sejuk' ketika mengingatkan pengalaman-pengalaman lalu apabila kek bentat dan biskut pula keras.
Sebenarnya, membuat kek dan biskut juga perlukan sedikit pengetahuan asas.
Hari ini, bukan kaedah memasak saja yang penting, malah bagaimana memilih ramuan kek dan biskut yang baru dalam pasaran.
Oleh itu, kalau dulu orang membuat kuih baulu cukup setakat menggunakan tepung, gula dan telur, hari ini terdapat kuih baulu bercampur butiran coklat (chocolate rice), kuih baulu berperisa pandan dan sebagainya.
Begitu juga dengan kek lapis. Dulu cuma ada kek berwarna-warni yang dilapis jem buah-buahan atau dengan nanas saja.
Hari ini, terdapat kek lapis berbagai corak dan rasa.
Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian semasa membuat kek dan biskut, agar pengalaman pahit anda membuat kek dan biskut bantut tidak berulang.
Berikut panduannya:
Telur
-------
Telur yang hendak digunakan untuk membuat kek dan biskut perlu segar. Sebaiknya beli telur daripada penjual di pasar kerana ia tidak disimpan lama berbanding telur di kedai-kedai runcit.
Ini kerana lebih ramai orang membeli telur di pasar dibandingkan dengan kedai-kedai. Begitu juga dengan pasar raya. Pasar raya yang sering ramai pelanggan, telurnya sering habis dijual dalam masa satu dua hari.
Untuk membuat kek, sebaiknya pilih telur jenis double A atau yang beratnya sekitar 60 gram sebiji. Jangan gunakan telur besar untuk membuat biskut kerana ia akan meningkatkan kandungan cecair dalam sukatan lantas menjadikan doh lembik. Lazimnya apabila doh lembik, pembuat kuih akan menambahkan tepung ke dalam adunan. Kalau tidak berhati-hati, doh akan mengeras dan rasa biskut juga berubah.
Semasa mengadun kek yang tidak menggunakan bahan ovalette untuk membuat kek, telur dan gula hendaklah dipukul hingga benar-benar gebu sebelum dicampurkan dengan bahan lain. Untuk mengetahui telur sudah cukup gebu, cuba ambil sesenduk dan terbalikkan. Jika telurnya tidak jatuh, bermakna ia sudah cukup gebu.
Ujian serupa boleh digunakan jika anda dikehendaki memukul putih telur hingga cukup gebu.
Mentega
----------
Apabila membuat biskut, sebaiknya jangan gunakan mentega yang masih keras. Ini kerana mentega yang masih keras perlu dikacau berlebihan hingga jika anda tidak berhati-hati, ia akan jadi berminyak.
Sebaliknya, biarkan mentega lembut sedikit dalam suhu bilik, baru dicampurkan dengan telur dan gula. Kacau ketiga-tiga bahan ini setakat rata saja.
Adunan mentega untuk biskut, jika dikacau berlebihan hingga menjadi minyak, boleh menyebabkan biskut bantut.
Setelah memasukkan tepung ke dalam adunan mentega untuk membuat biskut, jangan uli berlebihan. Cukup setakat menggunakan hujung-hujung jari saja untuk mengadunnya hingga rata. Menguli doh berlebihan akan menyebabkan biskut menjadi keras.
Oleh itu, apabila membuat biskut, buat satu adunan dahulu. Jika mahu ditambah, baru diadun lagi. Dengan demikian, anda tidak perlu adun mentega dalam jumlah banyak kemudian uli doh dalam jumlah yang banyak juga, hingga adunan dilakukan secara berlebihan dan mengganggu tekstur doh.
Bagaimanapun, jika anda hendak mengadun biskut dalam jumlah banyak, sebaiknya gunakan mesin pengadun dengan alat adun berbentuk 'K' atau lazim dipanggil sebagai 'K beater'.
Begitu juga apabila mengadun kek. Sebaiknya selepas dibubuh tepung ke dalam adunan telur, jangan diadun terlalu lama hingga semua udara di dalamnya hilang dan kek menjadi bantut. Cukup sekadar lima hingga tujuh minit.
Bakar Kek dan Biskut
-------------------------
Sebelum membakar kek, panaskan ketuhar lebih dahulu pada suhu yang disebutkan dalam resipi. Membakar kek tanpa memanaskan ketuhar lebih dahulu menyebabkan kek rosak.
Apabila membakar hanya satu tin atau satu biji kek, letakkan tin berisi adunan kek di tengah-tengah ketuhar. Jika ketuhar boleh memuatkan hingga adua tin kek, tukarkan kedudukan tin kek iaitu yang kanan dialihkan ke kiri dan sebaliknya kira-kira satu jam selepas dibakar. Ini akan membuat kek masak merata.
Jangan sekali-kali sapukan keliling tin kek dengan mentega sebelum dibubuhkan adunan kek. Cukup hanya sapukan mentega pada dasar tin, kemudian alaskan dengan kertas pembakar kek dan sapukan lagi mentega di atas kertas. Menyapukan mentega di sekeliling tin kek akan menyebabkan kek mengecut. Jika anda membuat kek lapis, apabila kek mengecut, ia akan mengganggu susunan lapisan-lapisan di bahagian tepi kek.
Usah segera keluarkan kek yang masak daripada tin. Biar ia sejuk antara lima dengan 10 minit atau hingga ia mantap.
Apabila anda membakar dua dulang biskut sekali gus dalam dua rak berasingan dalam ketuhar, pastikan anda alihkan biskut di rak atas ke rak bawah dan sebaliknya selepas membakarnya separuh jalan. Dengan demikian, biskut anda akan masak atau garing sama rata.
Menyimpan Kek dan Biskut
-------------------------------
Kek hendaklah betul-betul sejuk sebelum disimpan. Sebaiknya potonglah kek menjadi sekurang-kurangnya enam bahagian dan balut setiap bahagian dengan kertas timah. Simpan kek dalam ruangan beku peti sejuk. Keluarkan satu bahagian kek dan nyahbekukan supaya apabila tetamu datang, mereka tidak dihidangkan dengan kek yang sejuk dan beku.
Kek yang sudah dipotong berkeping-keping boleh juga dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro tetapi sekadar untuk beberapa saat saja. Memanaskan kek dalam ketuhar gelombang mikro dalam waktu yang lama akan menyebabkan kek menjadi keras.
Untuk biskut pula, simpanlah semua biskut dalam tin atau bekas yang betul-betul kedap udara. Anda boleh taburkan sedikit gula pasir kasar agar biskut kekal garing.
Apabila biskut sudah lemau, panaskan semula di dalam ketuhar selama beberapa minit, selepas itu sejukkan. Ia akan garing semula.
Akhir sekali, perlu diingatkan agar anda fahami dahulu segala ramuan dan cara-cara membuat suatu jenis kek atau biskut dalam sesebuah resipi sebelum mencubanya. Jika tidak, anda akan kecewa.
sumber : internet.